Oleh NUR NAZLINA NADZARI
ARAU – Pekan Sanglang hari ini lengang dan sepi susulan pandemik Covid-19 bagi Kluster PUI Sivagangga yang sehingga kini mencatatkan 11 kes positif di kawasan tersebut.
Tinjauan mendapati hanya sebuah kedai runcit beroperasi manakala selebihnya tutup.
Peniaga kedai runcit itu didapati tidak membuka pintu kedai atau membenarkan pelanggan untuk masuk mengambil barang.
Pelanggan sebaliknya diminta untuk memesan barang di pintu jeriji kedai sebelum barang yang dipesan diletakkan di atas meja.
Kawasan perumahan juga sunyi apabila kebanyakkan penduduk hadir membuat saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang.
Pada semalam, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man memberitahu, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dikuatkuasakan di Sanglang berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan itu.
Sebanyak 11 kes positif Covid-19 yang turut melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun direkodkan di Sanglang yang merupakan penularan Kluster PUI Sivagangga.-K! ONLINE














