fbpx

Model baharu zoo akan dibentang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Anuar Nasarah (dua dari kiri) menandatangani plak nama-nama anak gajah sempena Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah di Zoo Taiping & Night Safari, Taiping hari ini.

TAIPING – Satu model baharu akan diperkenalkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kepada zoo dan pusat pameran tetap hidupan liar ini agar mereka dapat meneruskan operasi mereka apabila berlaku bencana seperti wabak pandemik koronavirus (Covid-19) pada masa akan datang.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, model baharu tersebut kini dalam kajian dan tindakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) sebelum dibentangkan kepada kementeriannya dalam tempoh sebulan lagi.

“Apabila Covid-19 menular, hampir keseluruhan 20 buah zoo dan 14 pusat pameran tetap hidupan liar ini terjejas disebabkan kehadiran pengunjung yang amat kurang dalam tempoh tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Ia memberi kesan kepada pendapatan mereka sekaligus menjejaskan proses penyediaan makanan hidupan liar ini dan pembayaran gaji petugas yang menjaga haiwan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan 2020 di Zoo Taiping & Night Safari di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Tambah Shamsul Anuar, pihaknya berharap agar model baharu tersebut dapat memastikan zoo dan pusat pameran tetap ini dapat berfungsi dengan baik khususnya apabila berlaku keadaan yang sama seperti Covid-19.

Katanya, dana sebanyak RM10 juta diperlukan semua zoo dan pusat pameran tetap hidupan liar di seluruh negara untuk meneruskan operasi ketika PKP dilaksanakan.

“Kementerian telah memperjuangkan perkara ini untuk mendapatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui dana prihatin kebajikan hidupan liar sebanyak RM8.3 juta buat zoo dan pusat pameran tetap bagi menjamin kelangsungan hidupan liar termasuk harimau dan gajah,” katanya.

Katanya, menurut Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan kajian 44,000 kilometer persegi, populasi Harimau Malaya dianggarkan kurang 200 ekor.

“Populasi Gajah Asia di Semenanjung Malaysia pula dianggarkan kurang 1,100 ekor dengan 120 ekor merupakan gajah liar di Perak manakala populasi Gajah Pygmy di Sabah pula dianggarkan kurang 2,000 ekor,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Zoo Taiping & Night Safari.

-habis///

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI