SHAH ALAM – Seorang pengurus dan penolong pengurus syarikat teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 10 pertuduhan rasuah berjumlah RM56,000 bagi maklumat operasi serbuan melibatkan perlombongan bitcoin.
Lai Chung Lam,40, dan Lee Chee Yong,43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Bagi lima pertuduhan utama, mereka bersama-sama didakwa memberi suapan keseluruhan RM56,000 kepada seorang lelaki melalui beberapa perantara.
Ini sebagai balasan memberikan maklumat berhubung operasi serbuan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram melalui penggunaan elektrik secara curang.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawa Seksyen 24 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa lima pertuduhan pilihan memberikan hadiah wang tunai dengan nilai sama bagi tujuan sama seterusnya melakukan kesalahan dibawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Bagi pertuduhan itu, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa restoran dan butik di Bandar Sunway antara 28 Ogos 2020 hingga 10 Mei 2021.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan jaminan RM60,000 setiap seorang dengan bersama penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Peguam Shahidah Muslimah Roslan dalam mitigasi memaklumkan kedua-dua anak guamnya hanya mampu menyediakan sebanyak RM20,000 bagi ikat jamin dan tidak mempunyai masalah mengenai syarat tambahan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM25,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan.
Sebutan semula pada 14 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














