JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan DAP tidak pernah dan tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Johor yang diterajui BN selagi gabungan itu terus mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Onn Hafiz berkata, pendirian tersebut bukan didorong oleh sentimen perkauman atau sikap angkuh, sebaliknya berasaskan prinsip, mandat rakyat serta tanggungjawab BN Johor terhadap Bangsa Johor.
Menurut Menteri Besar Johor, sebagai Pengerusi BN Johor yang mewakili dan menjaga kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, beliau perlu menghormati suara akar umbi yang mahu BN bergerak secara bersendirian dalam menghadapi PRN Johor akan datang.
“DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor BN. Ini hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya rakyat Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin.
“Ini bukan soal sombong dan bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Onn Hafiz turut menjelaskan bahawa kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlaku dalam keadaan luar biasa apabila tiada mana-mana gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika itu dibuat susulan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demi memastikan kestabilan negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan situasi tersebut berbeza di Johor kerana BN telah memperoleh mandat yang jelas daripada rakyat untuk mentadbir negeri itu.
“Di Johor, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat. Kita berjaya membentuk kerajaan negeri yang stabil, membuktikan prestasi pentadbiran dan mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa diganggu percaturan politik yang boleh menjejaskan kestabilan.
“Di Johor, kita ada cara kita. Ini UMNO Johor. Ini BN Johor. Ini Bangsa Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE














