GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan (MOT) menunggu laporan penuh siasatan kes kemalangan tragis yang meragut nyawa enam sekeluarga dalam kejadian di Kampung Baru Pinang Tunggal, Kedah, petang semalam.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai punca kemalangan berlaku sehingga siasatan tersebut selesai dijalankan.
“Kita masih menunggu siasatan (kemalangan) dijalankan. Kita beri ruang untuk pihak kita menjalankan siasatan lanjut.
“Kita tidak membuat kesimpulan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan masalah kenderaan menjadi punca nahas tersebut berlaku.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 di Bukit Jambul di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang semalam, enam sekeluarga termasuk seorang anggota polis Balai Nibong Tebal maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga sebelum kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Iskandar Affan, tujuh tahun serta seorang bayi berusia enam bulan.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital. -KOSMO! ONLINE














