fbpx

Mahdzir minta upah 20 peratus untuk projek solar – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

KUALA LUMPUR – Saksi ke-16 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi bahawa bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ada meminta habuan atau upah kerana membantu Syarikat Jepak Holdings mendapatkan projek solar itu lima tahun lalu.

Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, memaklumkan kepada mahkamah, Mahdzir meminta sebanyak 20 peratus (RM250 juta) habuan daripada projek solar yang berjumlah 1.25 bilion itu selepas satu perjanjian Surat Setuju Terima (SST) dimeterai antara Jepak dan Mahdzir.

“Jumlah 20 peratus itu diminta melalui orang tengah yang dikenali sebagai Md. Fuad Yasin yang mana individu itu menghadiri satu mesyuarat dan rundingan persetujuan kedua-dua belah pihak untuk memberi jumlah bayaran tersebut (20 peratus). Hasil perbincangan itu, Jepak Holdings bersetuju untuk membayar RM1 juta kepada Mahdzir selama 60 bulan atau lima tahun,” kata saksi itu wang itu kesemuanya berjumlah RM60 juta.

Rayyan berkata demikian selepas menjawab soalan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Sebelum ini pada Februari lalu, Mahdzir yang merupakan saksi kelima pendakwaan menyangkal dakwaan beliau menerima habuan berjumlah RM60 juta dan bersetuju memberikan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar itu kepada Jepak Holdings.

Dalam prosiding sama, Rayyan turut memaklumkan Setiausaha UMNO Pekan, Datuk Aazmey Abu Talib yang terlibat secara langsung dalam projek ketika itu ada memberitahu dia ada menerima RM2 juta daripada Jepak Holdings namun saksi itu tidak mempunyai pengetahuan bagaimana cara pembayaran itu dibuat.

Sementara itu, Akberdin turut membangkitkan mengenai penglibatan indvidu penting yang ketika itu merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan iaitu Tan Sri Dr. Madinah Mohamad yang mana individu menandatangani surat SST tersebut.

Akberdin bertanya adakah saksi bersetuju bahawa Tan Sri Madinah ada membantu Jepak dalam projek ini, saksi itu bersetuju dengan cadangan soalan itu.

Pada masa sama peguam itu ada bertanya kepada saksi tersebut adakah dia ada mengganggu mana-mana pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk Tan Sri Madinah saksi itu berkata dia tidak pernah mengugut sesiapa.

“Selepas Pakatan Harapan menang, saya ada berhubung dengan Tan Sri Madinah dan tuduhan mengatakan saya ada mengganggu atau membuat gangguan adalah tidak benar,” katanya.

Perbicaraan bersambung lagi esok dihadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pembelaan diwakili peguam Akberdin.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI