fbpx

Kejuruteraan unggul X70 Premium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROTON X70 Premium CKD ini masih mengekalkan reka bentuk badan dan menggunakan enjin sama seperti varian import sebelum ini.

Proton sudah beralih arah. Bukan lagi satu entiti yang perlu dibantu untuk meneruskan survival dalam industri automotif tempatan. Peralihan ini bukan kerja mudah apatah lagi dengan jenamanya yang banyak diselubungi stigma negatif.

Langkah menyusun semula cara bisnes dan pengenalan standard kualiti baharu menyaksikan Proton bangkit semula sebagai satu jenama boleh dipercayai, memenangi keyakinan pengguna dan mengubah persepsi negatif.

Buktinya, Proton berjaya catat rekod jualan sebanyak 100,281 unit kenderaan di pasaran tempatan termasuk eksport sepanjang tahun lalu. Angka itu menandakan Proton buat kali pertamanya melepasi paras jualan 100,000 buah kenderaan sejak 2015.

Kereta sedan segmen A, Saga masih memegang status sebagai model Proton paling laris sehingga akhir tahun lalu, mencatat jualan sebanyak 38,144 unit.

Menariknya, model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton iaitu X70 yang dilancarkan pada 12 Disember 2018 menduduki tangga kedua produk paling laris selepas mencatat rekod jualan 26,331 unit.

Sebagai permulaan, Proton menawarkan X70 sebagai model import (CBU) dari China sebelum memulakan aktiviti pengeluaran versi pemasangan tempatan (CKD) setahun kemudian di kilangnya di Tanjung Malim, Perak.

SUV segmen C itu adalah produk hasil kerjasama DRB-Hicom dengan rakan strategik di China, Geely selepas kedua-dua pihak memeterai perjanjian pada Jun 2017. Umum diketahui, Proton X70 ialah jelmaan Geely Boyue.

Proton cukup berani mencuba nasib menembusi pasaran SUV segmen C yang sudah lama dimonopoli banyak model popular jenama pesaing asing seperti Honda, Toyota, Subaru, Nissan, Mazda, Kia, Volkswagen dan Peugeot.

Dalam tempoh singkat, Proton X70 berjaya membuktikan kehebatannya dengan mencipta rekod penghantaran tertinggi dalam segmen SUV iaitu 8,500 unit sepanjang tempoh 100 hari selepas dilancarkan.

 

Stereng X70 versi CKD dipasang logo baharu Proton.

Selain itu, ia turut merangkul Anugerah Kereta Terbaik Malaysia (COTY) 2019 dengan varian X70 2WD Premium dinobatkan sebagai crossover pertengahan dan SUV lima kerusi terbaik.
Reka bentuk SUV Proton versi CBU dan CKD adalah sama melainkan paparan lencana Proton baharu pada gril, stereng, rim dan permukaan cermin untuk setiap unit X70 keluaran fasiliti di Tanjung Malim.
Proton X70 CKD menerima kotak gear automatik baharu jenis tujuh kelajuan klac berkembar (7DCT) dengan teknologi shift by wire berbanding transmisi automatik enam kelajuan pada produk CBU. Transmisi baharu menambah kuasa tork sebanyak 15Nm kepada 300Nm berbanding output kotak gear enam kelajuan sebelum ini. Kedua-dua model CKD dan CBU berkongsi enjin sama iaitu jenis 1.8 liter TGDi dengan kuasa maksimum 182hp.
Berhubung sistem hantaran kuasa, semua varian CKD bergantung kepada jenis pacuan dua roda berbanding X70 CBU, dengan salah satu daripada empat varian buatan China dipasang komponen pacuan semua roda (AWD).

Laris

Bagi menjawab persoalan mengapa model SUV Proton begitu laris di pasaran, Garaj mengadakan satu sesi pandu uji varian tertinggi X70 iaitu Premium X 2WD versi CKD.
Meluangkan masa hampir 15 minit dengan cuma duduk di kerusi pemandu sambil meneliti setiap sudut dalam ruang kabin, X70 ternyata bukan lagi satu produk tipikal Proton. Papan pemuka dua tona dengan reka bentuk sedikit beralun mengetengahkan gaya minimalis. Konsol tengah dihiasi satu skrin digital, manakala bentuk tombol gear pula seakan-akan model SUV premium Eropah.
Kebiasaannya, pemilik kereta transmisi automatik boleh merasai proses perubahan gear dan adakalanya agak ketara, terutamanya ketika penukaran gear tinggi kepada gear rendah, namun ini sukar dirasai semasa memandu Proton X70.
Penulis telah memandu SUV ini ke Lumut, Perak dari ibu kota dan setibanya di Bandar Tentera Laut, SUV ini menunjukkan baki lima takuk pada meter minyak sekali gus menunjukkan penjimatan.

 

GARisan badan dan set lampu belakang lebih tirus menyerlahkan elemen kemodenan
pada SUV pertama keluaran Proton.

Olengan badan X70 juga jarang sekali dirasai dan SUV ini memang stabil disebabkan sentuhan magis Proton pada kotak gear tujuh kelajuan X70 CKD. Tindak balas enjin berubah menjadi lebih agresif selepas menekan mod pemanduan Sport, namun kembali memberi penjimatan penggunaan minyak petrol ketika menekan butang mod Eco.
Bagi penggemar kembara, Proton X70 memberikan kelebihan untuk anda bawa bersama lebih banyak bagasi dengan ruang simpanan barang seluas 515 liter. Pendek kata, boleh memuatkan dua beg golf ke dalam ruang itu tanpa masalah.
SUV versi Premium dan Premium X dipasang but kuasa dan sensor, membolehkan pemilik membuka pintu but belakang secara automatik dengan menggerakkan kaki bawah bampar.
Cuma, enjin perlu berada dalam keadaan tidak dihidupkan dan kunci berada bersama pemandu sebelum menggunakan khidmat sensor kaki.
Premium X ialah satu-satunya varian X70 dipasang bumbung panoramik matahari, mungkin digemari segelintir pembeli, tetapi mereka perlu membayar RM3,000 lebih tinggi berbanding harga varian Premium.

 

Tempat duduk X70 dibalut menggunakan material kulit jenis Nappa berwarna coklat.

Proton X70 Premium X sarat dengan ciri keselamatan termasuk enam beg udara, sistem brek antikunci dan banyak lagi. Menerusi Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) pula, pemandu akan dimaklumkan mengenai kehadiran kenderaan lain berdekatan kereta mereka. Ia akan mengeluarkan bunyi apabila kenderaan lain menghampiri atau berada di titik buta.
Begitu juga apabila ia dipandu masuk ke lorong lain, SUV ini akan mengeluarkan bunyi untuk memaklumkan pergerakan jentera tersebut menerusi Amaran Lencong (LDW). Bahkan, ia turut dilengkapi dengan Amaran Perlanggaran Depan (FCW), satu ciri yang akan mengeluarkan bunyi amaran apabila jentera tersebut berhadapan dengan risiko perlanggaran.
Brek Kecemasan Autonomi (AEB) pula akan mengaktifkan brek jentera itu apabila Proton X70 menghampiri kenderaan lain, namun penulis rasakan ia tidak terlalu berkesan kerana hanya aktif sekiranya SUV tersebut bergerak di bawah 30 kilometer sejam.
Proton X70 turut didatangkan dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) untuk anda mengetahui tentang tekanan angin pada tayar pada panel meter. Ia juga didatangkan dengan kamera 360 darjah untuk membantu anda masuk ke petak kenderaan.
Sepanjang lapan hari memandu SUV ini di kawasan ibu kota termasuk di laluan bercampur serta lebuh raya, penulis tidak menafikan Proton X70 menawarkan pengalaman baharu dan tiada masalah menandingi produk jenama lain dalam segmen sama.
Mungkin lebih baik berbanding SUV sekelas dari Jepun atau Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI