GEORGE TOWN – Selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa, kanak-kanak perempuan yang menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan tragis membabitkan Proton X50 dengan lori tanah di Kampung Pinang Tunggal, Kedah pada 7 Jun lalu sudah sedarkan diri dan menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini masih belum mengetahui nasib yang menimpa enam ahli keluarganya.
Dalam kejadian pada 7 Jun lalu, ayah Aulia yang merupakan anggota polis, Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, maut bersama isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, dan bayi mereka, Ahmad Mikail berusia dua bulan.
Tiga lagi mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah ibu Ahmad Shafiq iaitu Nora Mohd. Husin, 55, dan adiknya, Ahmad Fahim, 21, serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.
Mengulas lanjut, bapa saudaranya, Ahmad Amirul Aqmar, 25, berkata seluruh ahli keluarga meluahkan rasa syukur dengan perkembangan positif yang ditunjukkan Aulia sejak minggu lalu, sekali gus menyifatkan kanak-kanak itu sebagai malaikat kecil yang sangat kuat.
“Keadaan Aulia sudah stabil dan kembali sedar sejak minggu lalu. Malah, dalam masa terdekat pihak hospital akan memindahkannya ke wad biasa.
“Sebelum ini, dia ambil masa dua atau tiga hari untuk kenal kami semula (keluarga sebelah bapa dan ibunya). Tapi kali ini, dia memang benar-benar sudah kenal,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Amirul yang merupakan adik kelima Ahmad Shafiq berkata, buat masa ini mereka sekeluarga belum bersedia untuk memberitahu segala yang berlaku kepada anak saudaranya.
“Setiap hari, sejak sedar dia akan tanya semua orang yang ada dalam kereta. Dia tanya ayah na (mana), ibu na, mommy (panggilan untuk nenek), abang Apan, baby Mikail na dan pak su? Kami mampu diam.
“Atas nasihat doktor, Aulia belum bersedia untuk tahu semua itu (kehilangan ahli keluarganya). Doktor cuma minta ahli keluarga saya dan sebelah isteri arwah abang supaya tidak putus untuk bagi semangat dan sokongan kepada Aulia.
“Ada masanya dia (Aulia) menangis dan beritahu rindukan semua orang yang ada dalam kereta,” katanya dalam nada sebak.

Sebelum ini, Aulia yang dilaporkan mengalami pendarahan pada bahagian kepala termasuk patah tulang sebelah mata kanan dan kedua-dua belah kakinya terpaksa ditidurkan setelah dimasukkan ke hospital berkenaan.
Dalam pada itu, jelas Ahmad Amirul lagi, Aulia kini masih dalam pemantauan berterusan oleh doktor setelah selesai menjalani pembedahan pada bahagian kepala.
“Buat masa ini doktor fokus pada mata dan kepalanya. Kami juga dimaklumkan yang Aulia kemungkinan akan ditukarkan ke Hospital Seberang Jaya atau di Kepala Batas nanti, bergantung kepada keputusan pakar tersebut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang pada 7 Jun lalu, enam sekeluarga maut, manakala seorang kanak-kanak parah selepas Proton X50 yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Kedah.
Tragedi menyayat hati itu berlaku hanya beberapa jam selepas Proton X50 tersebut diambil dari pusat jualan di Juru, Pulau Pinang.
Pada 10 Jun lalu, media melaporkan polis masih menunggu laporan penuh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berhubung nahas membabitkan Proton X50 yang baharu dibeli salah seorang mangsa terbabit.














