fbpx

Lelaki warga emas didakwa tawar rasuah RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subramaniam (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, Seberang Perai hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada seorang anggota polis pada Jun lalu.

Tertuduh, K. Subramaniam, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan suapan sebanyak RM100 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21(2) Akta Polis 1967 iaitu ingkar arahan munasabah polis yang melakukan sekatan jalan raya.

Subramaniam yang tidak bekerja itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di khemah sekatan jalan raya Machang Bubok di Jalan Kulim, Bukit Mertajam di sini, pada 4 Jun lalu di antara pukul 1 hingga 1.20 petang.

Dia didakwa melakukan kesahan itu mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu per empat hukuman penjara maksimum kesalahan asal atau denda atau keduanya.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 21(2) Akta Polis 1967, dia boleh didenda tidak lebih RM200 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-dua sekali.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini, manakala tertuduh diwakili peguam R. Balabedha.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 selepas Balabedha memohon wang jaminan dikurangkan daripada jumlah yang dipohon Silvaranjini sebanyak RM8,000.

Sementara itu, kes berkenaan akan disebut semula pada 14 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Khas Butterworth di sini. – K! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI