fbpx

Dua tahun beroperasi guna generator

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangunan Wisma Punca Emas.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEREMBAN – Siapa sangka di sebalik bangunan Wisma Punca Emas yang terbakar hampir dua tahun lalu masih ada peniaga meneruskan operasi dalam premis berkenaan.

Bangunan itu yang terletak di tengah bandar raya dilihat tidak berpenghuni selepas terbakar pada bulan November 2018.

Ramai peniaga tidak meneruskan operasi kerana selepas terbakar bangunan berkenaan sudah tidak mempunyai bekalan elektrik.

Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! mendapati dua premis masih beroperasi seperti biasa iaitu Klinik Janaki dan Tukang Jahit Gentlemen.

Pemilik Klinik Janaki, Dr Janaki Perumal ,75, berkata, dia mula beroperasi di bangunan itu sejak tahun 1984 sehingga sekarang.

Katanya, selepas kejadian kebakaran di bangunan tersebut bekalan elekrik turut terputus menyebabkan ramai peniaga yang mengambil jalan menutup terus perniagaan mereka.

“Lapan bulan kami tutup (tidak beroperasi) sebelum kedai jahit mempelawa saya berkongsi menggunakan generator dengan kadar sewa RM20 sehari untuk petrol dan RM150 bagi sewa bulanan.

“Kalau ingin dibandingkan perniagaan kami pada tahun 80an dan sekarang memang banyak berbeza tetapi masih ada pelanggan yang datang anggaran sekitar lima orang sehari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, pemilik Tukang Jahit Gentlemen, Chiew Chee Cheong, 65, berkata, dia tidak berhasrat untuk berpindah ke lokasi lain memandangkan sudah serasi di tempat tersebut.

“Saya sudah menyewa di sini sejak tahun 1983, pelanggan juga sudah ramai yang tahu saya masih meneruskan perniagaan di sini.

“Selepas kejadian itu, saya berhasrat untuk meneruskan perniagaan dan mempelawa pemilik klinik untuk berkongsi menggunakan generator,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, pihaknya akan cuba untuk membantu pemilik-pemilik premis untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Apa yang saya lihat paling penting adalah bekalan elektrik kerana tanpa bekalan elektrik bagaimana mereka mahu menjalankan perniagaan.

“Kerjasama semua pemilik premis perlu membuat Mesyuarat Agung Tahunan secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI