DUNGUN – Mangsa nahas maut melibatkan peserta RXZ Members di Terengganu terus meningkat kepada tiga orang dengan seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta terkorban di Kilometer (KM) 356, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 5 petang itu, mangsa, Arissa Shazzira Zainudin, 21, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sewaktu kejadian, Arissa Shazzira dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuantan, Pahang selepas menghadiri program RXZ Members 8.0.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y125ZR yang ditunggangi mangsa dikatakan merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pikap, Mitsubihi Triton.
“Kenderaan itu dikatakan sedang berhenti di lorong kecemasan untuk berehat,” katanya di sini hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan Arissa Shazzira tercampak ke tengah jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat pelajar perempuan itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














