KINSHASA – Lebih 3,000 kes Ebola, termasuk 1,354 kematian direkodkan di Republik Demokratik Congo(DRC), kata beberapa pegawai semalam.
DRC kini bergelut dengan wabak Ebola ke-17. Kawasan paling teruk terjejas ialah wilayah Ituri, timur laut negara Afrika Timur itu yang dilanda keganasan selama beberapa dekad.
Sebanyak 3,075 kes disahkan di lima wilayah DRC, demikian menurut angka rasmi, selepas wabak Ebola melepasi angka 2,000 kes, 15 Julai lalu.
Pihak berkuasa menyatakan, pengesanan dan ujian yang lebih baik membantu mengenal pasti lebih banyak jangkitan.
Wabak diisytiharkan pada 15 Mei 2026 itu berpunca daripada varian Ebola Bundibugyo, yang mana tiada vaksin atau rawatan khusus untuknya.
Wabak itu dijangka berlarutan selama beberapa bulan lagi, manakala mogok petugas kesihatan yang menuntut gaji tertunggak mengganggu usaha tindak balas di beberapa hospital.
Ebola yang merebak melalui sentuhan dengan cecair badan pesakit dan menyebabkan demam berdarah, membunuh lebih 15,000 orang di seluruh Benua Afrika sejak 50 tahun lalu. – AFP














