SHILA Amzah, sepotong nama yang sejak kecil sudah melalui pelbagai fasa hitam putih dalam kehidupannya. Pernah berada pada zaman kegemilangan dan kejatuhan sehingga namanya ‘ghaib’ seketika dari radar industri seni tempatan.
Digam media, konflik keluarga dan keruntuhan rumah tangga, itu antara detik pedih terbesar dilalui penyanyi berusia 36 tahun itu.
Namun, siapa sangka dia kembali seperti dilahirkan semula selepas berjaya meloloskan diri daripada segala momen pahit tersebut.
Akui pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu, sepanjang bergelar anak seni selama 25 tahun, dia tidak mampu untuk mengira jumlah titik terendah atau tertinggi dalam hidupnya.
“Kalau nak cakap tentang titik terendah, mungkin hubungan. Terlalu banyak cerita tentang hubungan yang berlaku dalam hidup saya termasuk percintaan, dengan ibu bapa dan pihak media.
“Hubungan adalah perkara tunjang pertama yang boleh menjadi titik terendah dan tertinggi dalam kerjaya seni seorang Shila Amzah.
“Jadi, saya berasakan sudah banyak ruang dan peluang saya mendedikasikan diri untuk belajar. Sejujurnya saya sangat menghargai tahun ke-25 berada dalam industri sebab akhirnya dapat rasai kebebasan,” katanya.
Akuinya, kebebasan adalah sesuatu yang sudah lama dikejar dalam hidupnya termasuk berpeluang membuat keputusan sendiri dalam segala hal.
“Kebebasan! Itu yang saya selalu impikan kebebasan bersuara dan kebebasan untuk melakukan apa-apa keputusan besar dalam hidup saya, untuk kerjaya saya.
“Jadi, saya bersyukur dengan setiap perkara yang berlaku dan menjadikan siapa saya hari ini,” ujarnya.
Tidak menyebut dirinya dikongkong oleh individu tertentu, Shila berkata, dia kini mengejar setiap perkara yang diimpikan sejak dahulu.
“Dikongkong? Saya boleh katakan tidak mendapat kebebasan.
“Namun untuk menjadi lebih besar di mata khalayak bukan perkara mudah, saya yakin perkara sama turut dirasai semua anak-anak artis lain.
“Cuma saya harap mereka tidak melalui apa yang saya hadap sebelum ini dan dijadikan iktibar. Apa pun sekarang saya syukur, suami menjadi penyokong nombor satu dan sentiasa memberi dorongan untuk setiap hal,” ujar isteri kepada pempengaruh Ubai MZ itu.
Konsert solo
Beralih topik konsert solonya yang bakal berlangsung pada 15 Ogos depan di Genting Highlands, Shila berkongsi akan menyelitkan pelbagai elemen kejutan buat peminat yang hadir.
Menurut Shila, konsep yang bakal diketengahkan lebih kepada menelusuri lembaran kerjaya seninya sejak dua dekad lalu.
“Konsep keseluruhan adalah hasil idea saya bersama pengurus dan dibantu dengan para penganjur tetapi kalau pemilihan lagu, 90 peratus idea saya.
“Sebenarnya saya suka menari tetapi orang lebih mendengar lagu balada saya. Jadi kali ini, saya akan bawa minat itu ke pentas dan menjadi seorang penghibur.
“Pengarah muzik pula adalah band saya sendiri yang pernah mengiringi konsert di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC pada Mei lalu.
Kerja jadi mudah sebab keserasian dan mereka tahu cara saya bekerja,” kongsinya.
Paling istimewa, penonton bakal dihiburkan dengan segmen tribut buat tiga penyanyi legenda tempatan dan antarabangsa.
“Saya ambil kesempatan untuk adakan segmen penghargaan buat tiga penghibur ternama iaitu Allayharham Datuk Sudirman, Michael Jackson dan Fish Leong iaitu penyanyi legenda Cina yang berjaya membawa nama Malaysia sehingga ke Taiwan sejak era 2000-an.
“Saya rasa figura hebat ini paling banyak memberi inspirasi terhadap kerjaya seni sepanjang tempoh 25 tahun,” ujar pelantun lagu Patah Seribu itu.
Bukan sahaja bakal mendendangkan hampir 40 lagu, Shila juga turut membawa lima artis jemputan iaitu Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe.
“Konsep konsert ini ialah ‘kita’, jadi pemilihan lima penyanyi ini memang sangat wajar, berbilang kaum dan setiap mereka bawa genre muzik berbeza. Kalau orang tanya mengapa tiada penyanyi Cina, jawapannya ialah saya yang akan menyanyikan lagu Mandarin.
“Tidak perlulah menjadi isu rasisme sebab saya anggap diri saya sebagai wakil,” katanya yang kini rancak melakukan persiapan konsert.
Dia turut mengakui konsert tersebut bakal menjadi salah satu malam yang akan memberi impak terbesar terhadap kerjaya seninya.
“Rasanya memang akan jadi malam yang sangat beremosi, ditambah pula Ogos adalah bulan kelahiran saya. Doakan semuanya berjalan lancar, segala penat lelah dan apa yang saya lalui sebelum ini pasti akan terbayar.
“Mungkin ini adalah rezeki yang tak ternilai, hikmah atau hadiah paling bermakna untuk saya pada hari mendatang,” tuturnya.














