PETALING JAYA – “Hari ini saya ‘scan’ (imbas) seorang ibu mengandung. Baru sahaja letak alat imbasan atas perut, terus nampak badan bayi, saya senyum sekejap. Lepas itu saya cari kepala bayi tapi tak jumpa”.
Demikian perkongsian seorang doktor dikenali sebagai Aidah Mothar yang menceritakan pengalamannya ketika melakukan imbasan ultrabunyi terhadap seorang wanita hamil.
Menerusi hantaran di media sosial, katanya, sebaik melakukan imbasan, tubuh bayi dapat dilihat dengan jelas, namun bahagian kepala gagal dikesan meskipun dia telah melakukan beberapa imbasan dari sudut berbeza.
Menurutnya, dia kemudian mendapatkan pengesahan daripada rakan setugas sebelum mendapati bayi berkenaan mengalami anensefali, iaitu kecacatan kongenital serius yang menyebabkan sebahagian besar otak dan tengkorak tidak terbentuk.
“Dalam beberapa minit tu, satu bilik jadi sunyi. Kadang-kadang orang ingat kerja doktor ini cuma scan, bagi ubat, buat diagnosis.
“Hakikatnya, ada hari kita terpaksa menjadi orang pertama menemui berita yang akan mengubah hidup sebuah keluarga,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau turut mendoakan agar ibu dan bapa bayi tersebut diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian berkenaan.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, malah ada yang berkongsi pengalaman sendiri berdepan situasi seumpama itu sebelum ini.
“Pernah berlaku kepada saya juga ketika hamil anak ketiga apabila doktor mengesyaki bayi saya mengalami anensefali. Saya diminta bersedia dari segi mental sekiranya kehamilan tidak dapat diteruskan dan banyak berdoa.
“Alhamdulillah, semuanya normal. Sebab itu saya memilih untuk tidak berkongsi mengenai kehamilan ketiga sebelum ini kerana terlalu takut,” kata Ana Sazali.
Sementara itu, Nor Ashimah yang menerima nasib yang sama memberitahu bahawa dia diberikan pilihan sama ada untuk meneruskan atau menamatkan kehamilan.
“Saya memilih untuk menamatkan kehamilan lebih awal kerana mahu segera bangkit dan tidak mahu terlalu lama bersedih. Selepas bayi dilahirkan, dia sempat hidup selama kira-kira satu jam sebelum meninggal dunia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














