fbpx
Gambar hiasan.

‘Kejadian rogol berlaku berulang kali sampai mangsa tidak mampu kira, ratusan kali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang bapa merogol anak kandungnya sejak lima tahun lalu berbalas selepas lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan dikenakan 60 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua enam pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki warga Indonesia yang menetap di Malaysia selama 43 tahun itu menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di sebuah kediaman di Taman Midah, Cheras di sini, antara pukul 9.30 malam, 2 Oktober 2021 dan 3.32 petang, 30 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan minimum 10 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran mengambil kira hubungan tertuduh sebagai bapa kandung dan kesannya kepada mangsa.

“Mangsa mengalami kemurungan melampau sehingga tidak mampu untuk bertahan. Kejadian ini berlaku berulang kali sehingga mangsa tidak mampu untuk mengira berapa kali ayah (tertuduh) merogolnya sebanyak ratusan kali.

“Mangsa juga mempunyai niat untuk membunuh diri, namun terpaksa memikirkan anak yang berusia empat tahun. Sebelum ini, tertuduh ini dituduh kes pencabulan terhadap anak mangsa yang berusia empat tahun,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah memberikan hukuman ringan.

Mengikut fakta kes, mangsa pertama kali dirogol pada 2 Oktober 2021 ketika tinggal berdua di rumah dan berulang lima kali di lokasi sama sehingga Jun tahun ini.

Ekoran kejadian pertama, mangsa disahkan hamil pada April 2022 sebelum melahirkan bayi perempuan pada 11 Julai tahun sama.

Tertuduh kemudian mengugut anaknya supaya tidak menceritakan kejadian terkutuk tersebut kepada ibu tirinya atau mana-mana individu lain.

Laporan analisis kimia ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN