KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mencari lokasi makan santai dengan pilihan makanan pelbagai di tengah ibu kota kini boleh mengunjungi The Food Yard yang berlangsung di halaman terbuka Bangunan Mara Kuala Lumpur bermula 28 Julai hingga 1 Ogos ini.
Acara yang menggabungkan elemen makanan, hiburan dan aktiviti komuniti itu menawarkan suasana santai untuk dikunjungi bersama keluarga, rakan-rakan mahupun rakan sekerja.
Penganjur, Innova Synergy memaklumkan bahawa nama The Food Yard membawa maksud tersendiri apabila perkataan ‘Food’ melambangkan kepelbagaian juadah tempatan, hidangan popular serta makanan viral Malaysia, manakala ‘Yard’ menggambarkan ruang terbuka yang luas, santai dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Bukan sekadar tempat menjamu selera, The Food Yard kini hadir sebagai destinasi gaya hidup yang menggabungkan pengalaman makan dengan suasana hiburan,” katanya.
Antara tarikan utama acara itu ialah penyertaan lebih 30 vendor makanan yang menawarkan pelbagai pilihan menu termasuk hidangan berat, makanan ringan dan pencuci mulut di satu lokasi.
Pengunjung boleh menikmati sajian berkenaan seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam sama ada untuk makan tengah hari, minum petang atau makan malam.
Lokasinya yang strategik di pusat bandar turut memudahkan orang ramai berkunjung sama ada menggunakan pengangkutan awam menerusi Stesen LRT Bandaraya atau kenderaan sendiri dengan kemudahan parkir berhampiran di Bangunan Mara, Sogo serta Pertama Complex.
Selain menikmati pelbagai juadah, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan buskers tempatan selain persembahan khas daripada Maria Kilauan Emas by Hard Band dan Chicken Wings Band yang berlangsung sepanjang program.
Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk cabutan bertuah, demonstrasi masakan oleh chef terkenal serta photobooth percuma.














