PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM43.62 bilion bagi Januari hingga 30 Jun lalu iaitu lebihan sebanyak RM3.62 bilion berbanding unjuran hasil awal tahun sebanyak RM40 bilion.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, bagi perbandingan tahun ke tahun, kutipan hasil JKDM meningkat daripada RM35.69 bilion bagi Januari hingga Jun tahun lalu kepada RM43.62 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun ini dan peningkatan itu melibatkan tambahan kutipan sebanyak RM7.93 bilion atau 22.22 peratus.
“JKDM akan terus menambah baik strategi dan pendekatan sedia ada bagi mengekalkan momentum itu serta mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM80 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) tahun ini,” katanya pada sidang akhbar pencapaian JKDM dalam kutipan hasil dan penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 3,609 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai berjaya dipatahkan JKDM sejak Januari hingga 30 Jun lalu melibatkan tindakan sitaan pelbagai jenis barangan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.3 bilion.
Katanya, pencapaian itu merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.5 peratus, bersamaan RM0.23 bilion berbanding RM1.07 bilion pada 2025.
“Dari segi rampasan mengikut komoditi, dadah merekodkan sebanyak 220 kes melibatkan kuantiti keseluruhan 2,750.11 kilogram dan 3,399.10 liter dengan nilai rampasan berjumlah RM366.58 juta.
“Rokok mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,494 kes melibatkan 1,239.72 juta batang dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM329.27 juta. Ini diikuti oleh kenderaan yang merekodkan sebanyak 511 kes melibatkan 2,026 unit dengan jumlah nilai RM191.07 juta,” katanya.
Menurutnya, rampasan minuman keras pula mencatatkan 417 kes melibatkan 1.79 juta liter dengan jumlah nilai RM81.41 juta, manakala bagi komoditi sisa dan skrap sebanyak 104 kes melibatkan kuantiti keseluruhan 3,186.72 kilogram dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM40.13 juta.
“Kategori lain-lain komoditi (mercun dan bunga api, beras, produk sejuk beku, , tekstil, tayar, alat ganti kenderaan dan mata wang) merekodkan sebanyak 863 kes dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM295.64 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE














