KUALA TERENGGANU – Tiga majikan didenda keseluruhan RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis masing-masing.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Veeriah Al Muthiah, 72, Amirul Azrin Zakaria, 32, dan Muhammad Hashim Kaw, 45, selepas mereka membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Veeriah didenda RM20,000 selepas didapati membenarkan empat PATI terdiri daripada dua warga Indonesia dan dua warga Bangladesh menetap di rumah pekerja di Ladang Sri Alam Sdn. Bhd., Kampung Gong Batu, Permaisuri, Setiu pada 1 Julai lalu.
Amirul pula didenda RM10,000 kerana membenarkan dua warga Myanmar tinggal di sebuah kilang beras dan minyak di Taman Seri Budi, Padang Midin, di sini pada 6 Julai lalu.
Muhammad Hashim pula didenda RM5,000 selepas membenarkan seorang warga Myanmar tinggal di bengkel motosikal miliknya di Jalan Besar Kampung Batu 5, Dungun pada 8 Julai lalu.
Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang mempunyai kuasa dan kawalan ke atas premis masing-masing didakwa membenarkan PATI masuk atau tinggal di premis berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 dan RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang ditemui di premis jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh ditahan dalam operasi berasingan dijalankan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu di premis masing-masing pada awal Julai lalu. – KOSMO! ONLINE














