fbpx
Mohamad Zahri pada sidang akhbar perkembangan terkini pelan mitigasi banjir MBPJ. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

54 peniaga Medan Selera 223 terkesan banjir dapat diskaun sewa 30 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seramai 54 peniaga Medan Selera 223, Jalan 51A/23, Petaling Jaya yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini menerima diskaun sewaan premis sebanyak 30 peratus bermula Julai hingga Disember ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, keputusan itu dibuat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib peniaga yang terkesan akibat kejadian banjir berulang.

Menurut beliau, selain diskaun berkenaan, kesemua peniaga turut diberikan pengecualian bayaran sewa premis selama sebulan bagi Ogos ini.

“Sebelum ini, mereka juga telah menerima pengecualian bayaran sewa selama dua bulan iaitu Mei dan Jun.

“Langkah ini diambil bagi membantu meringankan beban peniaga yang terjejas akibat bencana banjir,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini pelan mitigasi banjir MBPJ di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan peniaga Medan Selera 223 memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan pengecualian bayaran sewa sehingga Disember selepas kawasan berkenaan dilanda banjir sebanyak tiga kali.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zahri berkata, MBPJ turut memasang alat pengesan paras air di longkang sekitar medan selera itu bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku peningkatan air.

“Alat pengesan tersebut dipasang pada paras lebih rendah supaya ia dapat mengesan kenaikan air lebih awal dan memberi masa kira-kira 30 minit kepada peniaga untuk mengalihkan barangan sebelum air memasuki kawasan darat.

“Kita sudah memaklumkan kepada peniaga mengenai pelan mitigasi banjir yang akan dilaksanakan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, MBPJ akan menanggung kos kerja pembersihan medan selera sekiranya berlaku lagi kejadian banjir di kawasan berkenaan.

Justeru katanya, peniaga diminta bersabar sementara menunggu kerja-kerja mitigasi banjir yang dilaksanakan MBPJ bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor disiapkan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN