fbpx
Gambar yang dimuat naik di Threads oleh @azzamizzmer.

‘Ibu hamil sampai menggigil pegang tiang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita hamil terpaksa berdiri lama sehingga kakinya menggigil di dalam tren gara-gara sikap tidak peduli sesetengah pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh pengguna @azzamizzmer, individu itu kecewa selepas menyaksikan situasi menyedihkan itu ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.

“Pagi tadi aku naik LRT untuk ke KL sebab kalau naik kereta sesak teruk sangat. Aku masuk je LRT, nampak ada ibu mengandung ini berdiri tepi tiang pegang perut sampai nampak menggigil kaki.

“Dalam LRT ini ada satu tempat duduk khas untuk ibu mengandung dan orang tua tapi yang aku nampak semua orang sihat dan muda duduk di situ. Semua buat tak tahu je nampak akak itu pegang perut depan mereka,” katanya pada hantaran tersebut.

Individu berkenaan turut mempersoalkan kepekaan serta sikap keprihatinan sesetengah pengguna pengangkutan awam yang disifatkan semakin mementingkan diri sendiri.

“Jadi lepas ini sebagai rakyat Malaysia, tolonglah ada sikit perasaan simpati dan pertimbangan yang wajar (common sense) dengan sekeliling, jangan pentingkan diri sendiri sahaja,” ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan rasa berang, malah ada yang mendedahkan taktik sesetengah penumpang yang gemar pura-pura tidur semata-mata untuk mengelak daripada menyerahkan tempat duduk.

“Kadangkala mereka nampak sahaja ibu mengandung, tapi terus cepat-cepat alih pandangan, buat-buat tidur atau tengok telefon,” kata @fattnabilah.

“Kakak mengandung kena bersuara minta tempat duduk. Orang Malaysia ini memang kena dicakap kuat-kuat baru mereka sedar,” ujar @nnsn9901.

“Biasanya yang dah duduk tu memang tak pandang kiri kanan dah. Lagi-lagi waktu balik bekerja masing-masing dah penat,” tambah Linaaileenhasbullah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN