fbpx
Mordi di Dewan Negara hari ini. Foto JABATAN PENERANGAN

Kos penganjuran Sukma Selangor 2026 dikurangkan 67 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 sehingga kini telah mengurangkan kos penganjuran Sukma edisi kali ini sebanyak 67 peratus berbanding kos asal.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 30 April lalu memutuskan supaya penganjuran Temasya Sukma Selangor 2026 dilaksanakan secara berhemah melalui strategi penjimatan kos operasi.

“Langkah penjimatan yang dikenal pasti meliputi aspek teknikal dan pertandingan, kemudahan dan persiapan tempat, kesihatan dan kecemasan, sukarelawan dan petugas jawatankuasa, majlis rasmi, pengangkutan, promosi dan media serta penyertaan kontinjen Brunei Darussalam.

“Ini dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri selaku tuan rumah penganjuran dan sekali gus memastikan penggunaan sumber secara lebih cekap tanpa menjejaskan kelancaran pengurusan penganjuran temasya,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tiew Way Keng berhubung status terkini koordinasi antara Kerajaan Persekutuan bersama Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Exco Sukan Selangor berhubung penganjuran Sukma 2026.

Ia memandangkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan kejohanan tersebut melalui strategi penjimatan kos operasi sehingga 50 peratus dengan memanfaatkan infrastruktur digital serta fasiliti sedia ada.

Mordi berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang diadakan sebelum ini dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan serta dianggotai oleh wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Katanya, ia bagi membincangkan serta menyelaras perkara-perkara dasar untuk memastikan penganjuran Temasya Sukma Selangor 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berhemah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KBS melalui MSN akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan setiap aspek penganjuran Temasya Sukma Selangor 2026 dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Seterusnya berhemah dan menepati piawaian temasya sukan kebangsaan sekali gus menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran sukan yang cekap dan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN