KUALA LUMPUR – Rasa tidak puas hati kerana didakwa mengganggu adik perempuan suspek dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibelasah sehingga cedera parah dalam kejadian di Flat Sri Pulau Pinang, Cheras di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.33 pagi.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap mangsa yang dikatakan telah mengganggu adik perempuan salah seorang suspek.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian hidung, mata serta kepala dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 22 tahun pada pukul 5.22 pagi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah tanpa menggunakan senjata.
“Kedua-dua suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














