NAMA Toyota Camry sudah cukup sinonim sebagai sebuah sedan yang menggabungkan keselesaan, kebolehpercayaan dan imej eksklusif.
Selama lebih empat dekad, model ini menjadi pilihan golongan profesional, ahli korporat serta mereka yang mahukan sebuah kereta yang bukan sekadar bergaya, malah mampu memberikan ketenangan setiap kali berada di belakang stereng.
Kini, UMW Toyota Motor membawa satu lagi dimensi baharu menerusi pelancaran model generasi kesembilan Toyota Camry HEV 2025 dengan satu varian enjin 2.5 liter HEV.
Model yang diimport sepenuhnya dari Thailand ini hadir dengan teknologi hibrid terkini pada harga RM248,800 atas jalan raya tidak termasuk insurans sekali gus menjadikannya antara sedan elektrifikasi paling menarik dalam segmennya.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh UMW Toyota Motor untuk memandu uji Toyota Camry HEV selama empat hari yang telah mengubah persepsi bahawa model ini sebenarnya sangat menarik dipandu dan boleh menjadi ‘sport luxury sedan’, bukan hanya terikat sebagai kenderaan ‘VIP’.
Paling mencuri perhatian penulis ialah perubahan falsafah reka bentuknya. Jika sebelum ini Camry sering dikaitkan dengan imej matang dan konservatif, tetapi generasi terbaharu ini tampil lebih berani.
Camry kini dipersembahkan dengan sentuhan lebih atletik, moden dan berkarisma berinspirasikan rekaan ‘Hammerhead’ sehingga mampu menarik perhatian golongan profesional muda.
Lampu utama LED yang lebih tirus dipadankan bersama gril hadapan bersaiz besar menjadikan penampilannya lebih garang tanpa menghilangkan karakter elegan yang menjadi identiti Camry sejak dahulu.

Profil sisi pula menyerlahkan imej sebuah sedan mewah dengan garis badan yang kemas serta aliran bumbung yang lebih sporty, menjadikan keseluruhan rekaannya kelihatan lebih dinamik.
Bahagian belakang turut diberikan sentuhan lebih moden menerusi lampu LED baharu serta kemasan yang memberikan ilusi sebuah sedan eksekutif berinspirasikan model-model premium Eropah.
Masuk ke ruang kabin, suasana di dalam kenderaan ini terus memberikan rasa eksklusif, tata letak papan pemuka direka lebih minimalis dan moden dengan kemasan lembut yang meningkatkan lagi nilai premium.
Paparan meter digital bersaiz 12.3 inci digandingkan bersama skrin infotainment yang menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, menjadikan pengalaman pemanduan lebih praktikal.
Aspek keselesaan amat dititikberatkan dengan tempat duduk dibalut material berkualiti tinggi dengan sokongan ergonomik yang baik, sekali gus mengurangkan keletihan ketika memandu jarak jauh.
Ruang kaki dan ruang kepala yang luas menjadikan Camry antara sedan paling selesa dalam kelasnya, terutama bagi penumpang belakang.
Kerusi hadapan hadir dengan pelarasan elektrik serta fungsi memori, manakala penumpang belakang diberikan layanan setaraf sedan mewah menerusi kerusi boleh diubah secara elektrik, kawalan penyaman udara tiga zon, sistem audio serta bidai tingkap yang semuanya boleh dioperasikan melalui perehat tangan tengah.
Keselesaan itu dipertingkat lagi menerusi tahap kesenyapan bunyi (NVH) yang jauh lebih baik iaitu bunyi angin dan tayar berjaya diminimumkan walaupun ketika dipandu pada kelajuan tinggi di lebuh raya.
Nadi kepada Camry HEV 2025 ialah enjin 2.5 liter Dynamic Force empat silinder yang dipadankan dengan motor elektrik generasi kelima Toyota Hybrid System.
Gabungan kedua-duanya menghasilkan kuasa keseluruhan sekitar 230PS dan menghasilkan tork maksimun 221Nm membolehkan sedan ini memecut dengan lancar dan responsif tanpa memerlukan penggunaan bahan api yang tinggi.
Kelajuan maksimum Camry HEV ialah 180km/j dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa hanya 7.2 saat.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi e-CVT yang telah dipertingkat bagi memberikan pecutan lebih linear dan rasa pemanduan yang lebih semula jadi.
Ketika penulis memulakan pemanduan, motor elektrik mengambil alih tugas menggerakkan kenderaan secara senyap.
Tiada gegaran atau bunyi enjin yang mengganggu, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan yang cukup menenangkan.
Apabila pedal pendikit ditekan lebih dalam, enjin petrol mula bekerja secara harmoni bersama motor elektrik, menghasilkan pecutan yang pantas dan meyakinkan.

Sepanjang sesi pandu uji di laluan bandar dan lebuh raya, Camry HEV membuktikan dirinya bukan sekadar sedan yang menjimatkan minyak, malah menyeronokkan untuk dipandu.
Stereng terasa tepat dengan maklum balas yang baik, manakala talaan suspensi berjaya menyerap permukaan jalan tidak rata tanpa menjejaskan kestabilan.
Ketika mengambil selekoh pada kelajuan sederhana pula, badan kenderaan masih kekal stabil, memberikan keyakinan tinggi kepada pemandu.
Di lebuh raya pula, Camry HEV terasa begitu tenang. Malah kelajuan tinggi ternyata tidak menjejaskan kestabilannya, selain itu pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Power mengikut rentak yang diinginkan.
Salah satu kekuatan utama model ini ialah kecekapan penggunaan bahan api iaitu sistem hibrid pintar Toyota yang sentiasa mengoptimumkan penggunaan kuasa antara enjin dan motor elektrik mengikut keadaan pemandu.
Selain menjimatkan petrol, sistem itu juga mengurangkan pelepasan karbon tanpa menjejaskan prestasi keseluruhan.
Dari aspek keselamatan, Camry HEV dilengkapi pakej Toyota Safety Sense generasi terkini yang merangkumi pelbagai sistem bantuan pemandu pintar.
Antara sistem pada kenderaan ini termasuk Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan dengan Brek Kecemasan Automatik, Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Mengekalkan Lorong, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Pengesanan Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.
Turut melengkapkan ciri keselamatan ialah kamera 360 darjah, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pelbagai beg udara serta struktur badan TNGA yang lebih kukuh ketika berlaku perlanggaran.
Apa yang paling mengagumkan ialah Camry HEV berjaya menggabungkan dua karakter berbeza dalam satu pakej iaitu cukup mewah untuk membawa seorang ketua pegawai eksekutif ke mesyuarat penting, namun dalam masa sama cukup sporty untuk dinikmati ketika memandu di jalan berliku.
Kesimpulannya, Toyota Camry HEV membuktikan sebuah sedan masih mempunyai tempat dalam dunia automotif yang kini dibanjiri kenderaan utiliti sukan (SUV).
Camry HEV muncul sebagai antara sedan eksekutif paling lengkap di pasaran Malaysia, bukan sekadar sebuah kereta, tetapi simbol evolusi sebuah legenda yang kini melangkah lebih jauh ke era elektrifikasi.














