SEBERANG PERAI – Empat sekeluarga tidak menyangka angin berpusar yang menyerupai ‘puting beliung’ menerbangkan bumbung garaj kediaman mereka sejauh 15 meter dalam kejadian di Kepala Batas di sini, semalam.
Muhamad Roslan Abd Rahim, 72, berkata, ketika kejadian pukul 6.45 petang itu, dia berada dalam rumah bersama isteri, anak dan cucu di Kampung Permatang Bertam di sini.
“Kira-kira 15 minit angin berpusing, isteri memaklumkan bumbung telah tercabut. Saya berlari keluar, ingatkan bumbung rumah yang rosak, rupa-rupanya bumbung garaj dan tiang besi diterbangkan ke kawsan tanah lapang di sebelah rumah.
“Selama 30 tahun tinggal di sini, ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku. Mujurlah kami sekeluarga selamat,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM15,000.
Dalam kejadian ribut di Kepala Batas semalam, lebih 90 buah premis termasuk sekolah, Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas dan Hospital Kepala Batas turut mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE














