Majoriti rakyat negara ini memilih sistem pendidikan konvensional bagi memastikan anak mereka mendapatkan pembelajaran demi masa hadapan yang lebih baik.
Namun, berbeza dengan Nur Adilah Mohamed Rosli, 38, dan Harris Arisyi Ridzuan, 38, yang memilih cara pembelajaran ‘World Schooling’ sebagai kaedah pembelajaran anak mereka Qaiser Mateen Harris Arisyi, 10, AlyssaJasmine Harris Arisyi, 6, dan Ezra Musa Harris Arisyi, 5, dan Ihlara Rose Harris Arisyi, 2.
Menurut Harris, ‘World Schooling’ adalah kaedah pembelajaran sendiri yang dibuat oleh ibu bapa seperti kaedah pembelajaran sendiri di rumah.
Bezanya, ‘World Schooling’ adalah kaedah mengajar anak sendiri sambil membawa mereka menjelajah dunia supaya anak-anak belajar cara hidup serta sejarah sesebuah negara yang dilawati.
“Kalau di Malaysia, ‘World Schooling’ adalah satu trend pembelajaran yang masih baharu tetapi di beberapa negara Barat, ia merupakan kaedah pembelajaran yang telah dipraktikkan bertahun lamanya,” katanya kepada CitaRasa.
Titik tolak dia dan isterinya memilih kaedah tersebut kerana mahu mengembangkan potensi anak mereka dengan mengikut minat serta kelebihan masing-masing selain terinpirasi dengan trend ‘World Schooling’ oleh rakyat luar negara itu.
Harris berkata, dia tidak menolak sistem pendidikan konvensional, sebaliknya mahu anak mereka mengembang potensi anak mereka ke tahap maksimum.
Baginya trend tersebut sebagai alternatif bagi ibu bapa yang mahu sentiasa bersama anak-anak dan sering mengembara.

Sebelum ini, kata Harris, anak sulung mereka, Qaiseer Mateen bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa pada usia 7 hingga 9 tahun sebelum dia dan isteri mempraktikkan World Schooling’ untuk anak-anak mereka sejak awal tahun lalu.
“Kami memulakan ‘World Schooling’ di Bali, Indonesia pada April 2025 selepas kami memenangi satu pertandingan anjuran syarikat kami bekerja. Kami tinggal di sana selama sebulan.
“Bertitik tolak dari situ, kami ambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kami ke Vietnam. Kami tinggal di dua bandar di sana iaitu Ho Chi Minh dan Hoa An selama empat bulan,” katanya yang memberitahu kedua-dua mereka bekerja sebagai ejen jualan produk.

Jelas Harris, Vietnam merupakan negara yang mempunyai komuniti ‘World Schooling’ terbesar di dunia dengan terdapat ratusan rakyat daripada beberapa buah negara berkumpul dan memberikan peluang kepada anak-anak mereka melakukan aktiviti dengan kanak-kanak lain.
Dengan aktiviti yang begitu banyak seperti bermain bola sepak, catur, badminton dan lain-lain lagi, anaknya perlu membuat pemilihan untuk memastikan dia boleh mengikuti aktiviti yang dipilih.
“Apabila berada di rumah penginapan pula, kami mengambil peranan dengan mengajar anak subjek yang diajar di sekolah seperti Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan lain-lain.
“Kami ajar kesemua mata pelajaran ini mengikut sukatan yang diajar di sekolah biasa,” katanya.

Selepas ke Vietnam, mereka pulang seketika ke Malaysia pada September 2025 kerana Nuradilah dan Harris Arisyi mempunyai urusan kerja yang harus diselesaikan.
Selepas kerja selesai, mereka meneruskan perjalanan mereka ke Istanbul, Turkiye pada Oktober 2025 sebelum bergerak ke Bosnia pada November 2025.
“Pergi ke Bosnia merupakan pengalaman yang kami tidak lupakan. Bosnia merupakan negara yang bukan dalam perancangan kami. Tapi semuanya berubah apabila carian kami di internet mendapati sewa rumah di sana amat murah.
“Selain itu, mendapat bekalan halal amat mudah di sana memandangkan Bosnia adalah sebuah negara Muslim. Jadi, kami ambil keputusan ke sana dan tinggal di sana selama sebulan lebih,” kata Harris.
Apa yang menarik, Qaiser Mateen diajar untuk menternak beberapa haiwan seperti ayam, itik dan sebagainya kerana jiran mereka mempunyai haiwan ini.
Malah kata Harris, dia turut mengajarnya untuk membeli barang keperluan di kedai berdekatan dan Qaiser Mateen cepat menangkap apa yang diajar.
“Apa yang lebih membanggakan, Qaiser Mateen mula meminati subjek keusahawanan.
“Justeru, kami memberikan tugasan kepadanya untuk membuat jualan kepada beberapa produk di media sosial.
“Dia berjaya menjual beberapa produk. Kami ajar Qaiser Mateen beberapa asas keusahawanan supaya dia dapat mengira sesuatu urus niaga dengan betul,” jelasnya.
Kemudian, ketika berada di Sepanyol dan Itali, Adilah dan Harris membawa anak mereka ke tempat beberapa bersejarah untuk mempelajari sejarah dua negara tersebut yang dianggap unik.
Harris berkata, anak-anaknya ada meluahkan rasa rindu kepada rakan-rakan mereka di Malaysia sepanjang mereka berada di luar negara.
“Bagi mengubati kerinduan mereka, kami beri peluang untuk mereka membuat panggilan video kepada beberapa kawan mereka.
“Kami turut berjanji dengan mereka untuk membuat majlis kecil-kecilan sekembalinya ke Malaysia supaya mereka boleh berjumpa kawan mereka,” katanya.
Negara terakhir yang dilawati mereka adalah Itali pada Februari tahun ini sebelum pulang ke tanah air pada bulan Syawal lalu.
Harris berkata, dia dan Adilah merancang untuk menjelajah beberapa buah negara lagi pada tahun ini, namun belum memuktamadkan negara yang ingin dilawati.
Kata Harris, menyedari kos ke luar negara biasanya besar, dia dan isteri akan berusaha berbelanja secara berhemah dengan mencari penginapan di rumah sewa yang murah dan mengamalkan masak sendiri.
“Apa yang pasti, pembelajaran Qaiser Mateen dan adik-adiknya tidak akan diabaikan sepanjang lawatan kami di kesemua negara ini.
“Kami amat gembira kerana anak-anak dapat mempelajari banyak benda baharu sepanjang mereka menjelajah kesemua negara ini.
“Selain itu, mereka mendapat ramai kawan baharu dari pelbagai negara,” ujarnya.














