GEORGE TOWN – Misteri kehilangan seorang bapa tunggal, Shahir Zainul, 46, sejak sebulan lalu terungkai apabila dia disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut di Hospital Pulau Pinang (HPP), 11 Jun lalu.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Menurut beliau, kematian mangsa disahkan oleh keluarganya menerusi pengecaman yang dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik, HPP, malam tadi.
“Ya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 11 Jun lalu ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Kenyataan akhbar berhubung kematian mangsa akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya di sini.

Pada 21 Jun lalu, Unit Komunikasi Korporat HPP dalam satu kenyataan akhbar memohon hebahan berhubung mayat tidak dituntut di Jabatan Perubatan Forensik, HPP.
Menerusi kiriman emel dari agensi itu, mayat lelaki dewasa tanpa identiti yang dimasukkan ke hospital berkenaan pada 10 Jun lalu telah disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut, pada pukul 5.28 petang, 11 Jun lalu.
“Pihak kami memohon agar pihak tuan puan dapat menghebahkan atau menguar-uarkan perkara ini untuk makluman umum bagi mengesan waris mayat tersebut,” katanya.
Rabu lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu mengharapkan anaknya pulang selepas hilang tanpa khabar berita sejak lebih sebulan lalu dalam kejadian di Bukit Gedung, Bayan Baru di sini.
Salmah dilaporkan berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu keluar rumah pada pukul 5 pagi, 10 Jun lalu atas alasan mahu mencari durian di sebuah dusun durian di Relau. Katanya, sejak itu dia langsung tidak pulang hingga membuatkan dua anaknya berusia 13 dan 15 tahun terlalu merinduinya.
Hari ini, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terbabit yang dilaporkan hilang di dusun durian, Lebuh Bukit Jambul, pada pukul 10.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, operasi SAR telah ditamatkan pada pukul 12 tengah hari kerana tiada sebarang petunjuk berhubung lokasi keberadaan mangsa di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














