fbpx
Gambar hiasan.

Masjid Putra, Masjid Negara antara tarikan Tahun Melawat Malaysia 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Institusi masjid dijangka terus menjadi tarikan utama pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Negara yang menerima kehadiran pelawat dari dalam serta luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf dan memulihara beberapa masjid bersejarah termasuk Masjid Jamek Sultan Abdul Samad bagi memastikan ia kekal menjadi ikon pelancongan Islam negara.

“Masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah menjadi antara lokasi yang paling banyak dikunjungi pelancong. Masjid Putra dan Masjid Negara sentiasa menerima kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara.

“Kita juga sedang melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad supaya ia terus kekal sebagai warisan dan tarikan utama negara, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia,” katanya ketika merasmikan Surau Jumaat Al-Huda, Taman Intan Baiduri, di sini hari ini.

Menurutnya, pembangunan dan pemeliharaan institusi masjid serta surau mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negara, selain memperkukuh syiar Islam.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, Surau Jumaat Al-Huda merupakan surau Jumaat ke-15 yang diluluskan pada tahun ini bagi memenuhi keperluan umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Katanya, ketika ini Malaysia mempunyai kira-kira 7,000 masjid berdaftar, lebih 18,000 surau dan melebihi 1,000 surau Jumaat di seluruh negara.

“Kita sentiasa meneliti maklum balas masyarakat. Sekiranya sesebuah masjid atau surau tidak lagi mampu menampung jemaah, keperluan untuk mewujudkan surau Jumaat baharu akan dipertimbangkan mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan lebih banyak surau Jumaat penting bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa, terutama di kawasan yang padat dengan jumlah penduduk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN