BENTONG – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 34 ekor katak demam bernilai RM17,000 dalam satu serbuan di sebuah stor di Jalan Tras di sini semalam.
Difahamkan katak berkenaan yang diperolehi di hutan sekitar Bentong disimpan di stor berkenaan sebelum dijual kepada pembeli yang kebiasaannya adalah kedai makanan eksotik dengan harga kira-kira RM500 seekor.
Katak demam merupakan satu spesies katak terbesar di Malaysia yang sering menjadi buruan untuk hidangan eksotik kerana tidak beracun dan saiznya boleh mencecah sehingga satu kilogram seekor.
Penyimpanan katak demam atau nama saintifiknya Limnonectes Blythii memerlukan lesen dan permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 66 tahun untuk siasatan lanjut.
“Semasa melakukan pemeriksaan di dalam stor berkenaan menemukan 34 ekor katak demam dengan anggaran nilai RM17,000.
“Lelaki berkenaan gagal mengemukakan lesen dan permit menyimpan katak demam yang dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan barang rampasan serta suspek diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal katak berkenaan yang ditangkap di sekitar hutan di daerah ini dijual kepada suspek yang kemudiannya akan dijual kepada kedai makanan eksotik di negeri ini.
“Risikan dan pemantauan secara berterusan akan dipergiatkan bagi mengesan serta membanteras aktiviti pemilikan, pemeliharaan dan perdagangan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen atau permit yang sah, di samping melindungi spesies hidupan liar yang terancam daripada terus dieksploitasi,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE















