fbpx
Aminul Izmeer (dua dari kanan) memeriksa rampasan rokok pada sidang media di Menara Kastam, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

Kastam rampas rokok seludup RM13.46 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merekodkan rampasan terbesar pihaknya tahun ini selepas mematahkan penyeludup rokok putih bernilai RM13.46 juta, 8 Jun lalu.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, cubaan penyeludupan itu terbongkar selepas pemeriksaan pihaknya terhadap sebuah kontena di Kawasan Zon Bebas, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah menemukan 12 juta batang rokok putih pelbagai jenama.

“Rokok tersebut bernilai RM4.8 juta, manakala cukai terlibat adalah RM8.664 juta, menjadikan keseluruhan sitaan bernilai RM13.464 juta.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu diikrarkan sebagai barangan ‘photovoltaic system components’ yang berlepas dari China dan akan menuju ke Lisbon, Portugal,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.

Tambah beliau, rokok merupakan barang larangan import bawah Butiran 1, Jadual Ketiga Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Modus operandi digunakan adalah membuat pengikraran tidak benar atas barangan dagangan bagi tujuan penyeludupan rokok tidak bercukai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN