KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket penyimpanan, penjualan dan pengedaran minuman keras tiruan serta tidak bercukai kastam di sekitar Lembah Klang tumpas selepas dua lelaki diberkas dalam Op Taring Alpha 2 pada 25 Jun lalu.
Operasi itu dijalankan sepasukan polis daripada WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Putrajaya serta Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan dan Siasatan Khas Bahagian Pasukan Gerakan Am (PGA), JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dua serbuan dilakukan di sebuah premis di Kepong Baru, Kuala Lumpur dan di tepi Jalan Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka yang bergiat aktif menjalankan aktiviti penyimpanan, penjualan serta pengedaran minuman keras tiruan pelbagai jenama dan tidak bercukai kastam di sekitar Lembah Klang.
“Turut dirampas ialah empat kenderaan membabitkan tiga lori bonded dan sebuah van, selain 11,496 tin serta 9,737 botol minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tiruan dan tidak bercukai kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai sitaan sebenar dianggarkan RM755,290, manakala nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,656,140.
Menurut beliau, hasil soal siasat awal mendapati suspek tempatan mengaku bekerja sebagai coordinator/store keeper sejak Jun 2025 dengan upah RM3,000 sebulan dan berperanan mengatur penerimaan serta menyimpan bekalan minuman keras tiruan atau tidak bercukai kastam selepas menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Sathiya.
“Seorang lagi suspek warga Sri Lanka pula mengaku bekerja sebagai store keeper/transporter sejak Januari 2026 dengan upah RM2,500 sebulan serta berperanan menyimpan dan membuat penghantaran bekalan kepada pembeli sekitar Lembah Klang,” katanya.
Tambah beliau, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah atau palsu. – KOSMO! ONLINE














