PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai terjatuh sebelum digilis sebuah kereta di Jalan Sungai Buloh-Kepong, di sini, malam tadi
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Viva itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam.
Menurut beliau, kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu dalam perjalanan dari arah Kepong menghala ke Damansara.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan sebelum terjatuh di laluan kereta berkenaan.
“Pemandu Perodua Viva itu tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam A/L Muniandy di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE















