INDUSTRI hiburan tanah air sekali lagi diuji dengan insiden penyalahgunaan dadah. Setiap kali isu ini timbul, perhatian masyarakat segera tertumpu kepada dunia seni seolah-olah dadah dan artis tidak dapat dipisahkan.
Ini bukan sekadar kisah individu tersilap langkah, tetapi satu isu yang mempunyai implikasi besar terhadap imej industri kreatif negara.
Hakikatnya anak seni merupakan figura awam yang sentiasa diperhatikan, dinilai dan dijadikan contoh oleh peminat. Apabila dikaitkan dengan dadah, kesannya jauh lebih besar berbanding individu biasa kerana nama mereka menjadi tajuk utama media dan perbualan masyarakat.
Lebih membimbangkan, reputasi yang dibina melalui bakat, disiplin dan kepercayaan masyarakat selama bertahun-tahun boleh musnah dengan satu kesilapan. Walaupun ada yang bangkit selepas menjalani pemulihan, tidak semua mendapat peluang kedua dan meraih semula kepercayaan awam.
Setiap kali kes dadah membabitkan artis dilaporkan, seluruh industri menerima tempias persepsi negatif. Tanggapan ini mungkin tidak adil kerana majoriti penggiat seni bekerja secara profesional dan berintegriti. Namun, persepsi awam lazimnya sering dibentuk oleh kes-kes yang mendapat liputan meluas, bukannya oleh kejayaan senyap yang dicapai ribuan pekerja seni lain.
Kes terbaharu melibatkan pelakon drama kepolisan Gerak Khas 2.0 yang didakwa positif tiga jenis dadah sekali lagi membuka ruang perdebatan orang ramai. Walaupun proses undang-undang perlu dihormati dan setiap individu berhak mendapat keadilan, kes tersebut mencetuskan persoalan tentang tahap disiplin serta tekanan yang dihadapi segelintir artis.
Jadual kerja padat, persaingan sengit dan tuntutan untuk kekal relevan boleh menjejaskan kesihatan mental. Namun, tekanan tidak boleh dijadikan alasan untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah kerana ramai lagi artis berdepan cabaran sama tanpa memilih jalan tersebut.
Dari sudut komersial, implikasinya amat besar. Artis berisiko kehilangan kontrak, penaja dan kepercayaan pelbagai pihak, manakala syarikat produksi serta penerbit terpaksa menanggung kerugian akibat penangguhan projek atau pertukaran pelakon.
Isu ini juga memberi kesan kepada generasi muda. Pendedahan berterusan terhadap berita negatif boleh membentuk persepsi bahawa gejala sosial adalah sebahagian daripada dunia glamor, sekali gus berisiko menormalisasikan perlakuan yang salah.
Justeru, industri hiburan tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu insiden berlaku. Persatuan artis, syarikat produksi dan pihak berkaitan perlu memperkukuh program kesedaran, kaunseling serta sokongan psikologi sebagai langkah pencegahan. Dalam masa sama, individu yang benar-benar insaf dan menjalani pemulihan wajar diberi peluang kedua.
Penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis bukan sekadar isu peribadi, tetapi turut menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap industri seni. Sesungguhnya, industri memerlukan anak seni yang bukan sahaja berbakat, malah berintegriti, berdisiplin dan rbertanggungjawab agar terus dihormati serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat. -KOSMO! ONLINE















