KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli membuktikan Litar Sachsenring bukan lagi ‘mimpi ngeri’ buatnya apabila berjaya menempah barisan hadapan Grand Prix (GP) Jerman selepas mencatat masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan, sebentar tadi.
Pencapaian itu cukup bermakna buat pelumba kelahiran Terengganu itu kerana sebelum ini mempunyai rekod kurang memberangsangkan yang dilakarkannya di litar berkenaan ketika bersaing dalam saingan Red Bull Rookies Cup tahun lalu.
Pelumba AEON Credit MT Helmets-MSi itu akan memulakan perlumbaan dari petak ketiga selepas mencatat masa 1 minit 24.909 saat (1:24.909s), hanya 0.029 saat di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang meraih petak utama dengan catatan 1:24.880s.
Petak kedua menjadi milik pelumba Argentina, Marco Morelli yang mencatat 1:24.904s, manakala Hakim hanya dipisahkan 0.005 saat daripada Morelli.
Keputusan itu sekali gus meletakkan pelumba berusia 19 tahun itu dalam kedudukan terbaik untuk memburu satu lagi keputusan cemerlang pada perlumbaan GP Jerman, esok.
Lebih membanggakan, ia adalah kali ketiga Hakim menempah barisan hadapan pada musim sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 selepas turut melakukannya di GP Itali dan GP Czech.
Di Mugello, Hakim bermula dari petak pertama, manakala di Brno dia mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan sebelum dikenakan penalti 12 petak grid yang menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14.
Bagaimanapun, penalti itu tidak menghalang Hakim mencipta sejarah apabila bangkit memenangi GP Czech, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Malaysia dalam kelas Moto3 sejak Khairul Idham Pawi muncul juara di GP Jerman pada 2016.
Bermula dari petak ketiga esok, Hakim kini berpeluang mengembalikan kegemilangan Malaysia di litar yang pernah menyaksikan Khairul Idham mencipta sejarah sedekad lalu. -KOSMO! ONLINE















