DUNGUN – Seorang pengusaha kedai runcit berusia 70 tahun berdepan detik cemas selepas kedai runcitnya tiba-tiba disamun sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang dan batang besi di Ketengah Jaya, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari itu, wanita warga emas tersebut kerugian puluhan ribu ringgit setelah barangan kemas, wang tunai berjumlah RM5,000 dan dua buah telefon bimbit miliknya dilarikan tiga lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, mangsa yang berniaga seorang diri tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan sebilah parang dan sebatang besi.
“Mangsa mendakwa kedua tangannya diikat manakala mulutnya ditutup dengan pita pelekat oleh kumpulan penjenayah terbabit.
“Kesemua suspek kemudiannya melarikan barangan berharga milik mangsa dengan sebuah kereta Proton Iswara berwarna kelabu,” katanya di sini
hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, wanita warga emas yang tidak mengalami kecederaan kemudiannya diselamatkan orang ramai tidak lama kemudian.
Beliau berkata, usaha untuk mengesan ketiga-tiga suspek kes samun terbabit sedang giat dilakukan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE















