KOTA TINGGI – Menetapkan tarikh perkahwinan sejak Ogos tahun lalu, pasangan pengantin baharu di sini langsung tidak menyangka hari bahagia mereka bertembung dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Namun, kekangan masa itu tidak menghalang Fifi Nur Khairin Tamrin, 24, untuk ‘melarikan diri’ seketika daripada majlis bersejarahnya demi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Johor.
Kehadirannya yang ditemani suami, Muhammad Arif Fahmi Nor Azli, 28, nyata mencuri perhatian ramai di pusat tersebut.
Fifi Nur Khairin berkata dia dan suami diijabkabulkan pada pukul 9 pagi sebelum terus bergegas ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Sungai Sayong sekitar pukul 10 pagi.
”Mulanya memang sedih juga sebab takut tidak dapat teruskan majlis, tetapi kami buat keputusan untuk teruskan sahaja perancangan.
”Memang kelam-kabut sikit sebab selepas nikah, kami ambil gambar ringkas dan terus datang sini untuk mengundi. Yang penting, sebagai rakyat kita kena tunaikan tanggungjawab dan pilih pemimpin yang betul,” katanya.
Dia bagaimanapun, menyifatkan pertembungan luar biasa ini sebagai satu memori unik yang akan dikenang sepanjang hayat.
”Memang malu juga sebab semua orang tengok, tetapi bagi saya bukan selalu. Inilah momen bersejarah. Sampai tua pun saya akan ingat hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















