FOXBOROUGH – Perancis menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Mahgribi 2-0 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Boston awal pagi tadi.
Dua jaringan menarik dilakukan Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele meletakkan Les Bleus semakin hampir untuk melakar sejarah menjadi pasukan ketiga mara ke final Piala Dunia tiga kali berturut-turut.
Pada perlawanan tersebut, Maghribi memiliki penguasaan bola lebih baik, namun Perancis merupakan pasukan lebih berbahaya apabila melakukan 22 percubaan ke arah pintu gol berbanding lima dilakukan The Atlas Lions.
Perancis yang merupakan juara edisi 1998 dan 2018 itu sepatutnya mampu mencatat kemenangan dengan jaringan lebih besar tetapi dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.
Selain itu, Maghribi jelas turun dalam keadaan ‘tempang’ di bahagian serangan apabila tidak dapat menggunakan khidmat penyerang berbisa, Ismael Saibari yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Walaupun Maghribi berusaha untuk sekurang-kurangnya mendapatkan gol saguhati, namun beberapa percubaan mereka turut dinafikan oleh kekebalan benteng pertahanan serta kehebatan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, skuad kendalian Didier Deschamps itu akan menantikan pemenang perlawanan antara Sepanyol dan Belgium yang dijadualkan berlangsung awal pagi esok. – AGENSI















