KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat memberitahu, beliau telah diarahkan untuk menyediakan lima surat berbeza kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi permohonan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Aliza Abdul Malek, 47, yang juga Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd, berkata, beliau menyediakan lima surat berkenaan di atas arahan pemilik syarikat terbabit, iaitu Lian Tian Chuan atau dikenali sebagai TC Lian.
Katanya, kesemua surat yang disediakan beliau itu adalah bagi permohonan untuk projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.
Menurut Aliza, selain menyediakan surat permohonan bagi Nepturis, beliau juga menyediakan surat bagi empat lagi syarikat lain.
“Saya tidak tahu surat itu diserahkan kepada siapa atau dengan siapa TC Lian berurusan bagi menyerahkan surat berkenaan.
“TC Lian tidak pernah memberitahu atau menceritakan kepada saya dengan siapa beliau berurusan atau berhubung berkenaan permohonan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Aliza juga bersetuju bahawa tindakan menyediakan lima surat berbeza adalah untuk menunjukkan kesemua syarikat berkenaan tiada kaitan antara satu sama lain.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-13 itu memberitahu beliau hanya mengetahui projek Jana Wibawa selepas menerima e-mel daripada Kementerian Kewangan (MOF), lima tahun lalu.
Katanya, e-mel yang dihantar oleh MOF kepada syarikatnya itu diterima pada 26 Mac 2021.
“Nepturis melalui saya telah menerima e-mel daripada MOF berkenaan Penilai Jana Wibawa – Penilaian Pra-Kelayakan.
“Saya hanya tahu projek ini adalah projek Jana Wibawa melalui emel berkenaan. Saya mengesahkan telah memaklumkan kepada Rizman (Mohd. Rizman Akum Khan) dan TC Lian (Lian Tian Chuan) berkenaan perkara ini,” kata saksi itu dalam pernyataan saksinya.
Mengulas lanjut dalam pernyataannya, saksi itu memaklumkan syarikat Nepturis telah memperolehi projek membina Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dengan kos kontrak berjumlah lebih kurang RM141 juta.
Katanya, sejak Nepturis memperoleh projek ini, terdapat bayaran- bayaran telah dibuat kepada sub-kontraktor yang diuruskan melalui cek-cek syarikat yang ditandatangani melalui pindahan wang yang dibuat oleh bahagian kewangan Nepturis.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung lagi esok.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga buah syarikat serta seorang individu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














