RAWANG – Penyanyi, Adira Suhaimi belum memikirkan sebarang perancangan ke arah perkahwinan baharu selagi keputusan pengesahan lafaz rujuk difailkan bekas suaminya Datuk Red belum diputuskan mahkamah.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, berkata, proses mahkamah yang sedang dilalui memerlukan kesabaran sekali gus membuatkannya memberi keutamaan terhadap penyelesaian kes tersebut sebelum membuka lembaran hidup yang baharu.
“Saya macam mana nak kahwin? Kes ini pun belum selesai lagi. Dia (Datuk Red) senang dah kahwin, kita nak kahwin susah.
“Kena selesaikan semua ini (prosiding mahkamah) ini duhulu,” katanya yang kedengaran seakan-akan berseloroh.
Menurut ibu kepada empat anak itu, dia sudah menjangkakan proses perundangan akan mengambil masa yang panjang.
Namun Adira mengakui tetap berlapang dada berdepan proses mahkamah selain menerima segala yang berlaku dengan berlapang dada.
“Siapa yang tak penat turun naik mahkamah? Tapi saya anggap ini memang prosesnya. Doakan semuanya dipermudahkan,” ulasnya.
Menurut Adira lagi, sebarang komitmen kerja juga akan disusun mengikut jadual prosiding kerana urusan mahkamah tetap menjadi keutamaan buat masa ini.
Mengulas mengenai hak penjagaan anak-anak, Adira memaklumkan hak hadanah berada di bawah jagaannya, selain mendedahkan bekas suami belum pernah menyuarakan hasrat membawa anak-anak bermalam sejak berkahwin semula.
“Setakat ini belum ada permintaan seperti itu. Kalau ada pun, Insya-Allah semuanya perlu dibincangkan terlebih dahulu,” katanya.
Ditanya mengenai hubungan anak-anak dengan isteri baharu Datuk Red, Adira berkata mereka masih belum bertemu, tetapi dia terbuka andai ada permintaan pada masa akan datang.
Dalam masa sama, penyanyi berusia 34 tahun itu enggan mengulas lanjut mengenai kehidupan peribadinya termasuk dakwaan semakin serius dengan teman istimewa untuk ke fasa seterusnya.
“Saya akan cerita semua perkara itu selepas kes ini selesai. Buat masa sekarang saya mahu fokus untuk selesaikan kes rujuk ini dahulu,” katanya.
Terdahulu, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua namun mereka bercerai talak satu pada April 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 9, Asan, 7, Anggun, 6 dan Ayob, 4 tahun.
Datuk Red pula kembali bergelar suami selepas selamat bernikah dengan wanita pilihannya, Rohanita pada 3 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE














