fbpx
Poster program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan, Jumaat lalu.

Fykaaschaa mohon maaf, perjelas ‘disko retro’ hanya untuk rakan, keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Penganjur majlis bertemakan retro hippie 60-an dan 70-an memohon maaf dan menegaskan program tersebut bukan hiburan berbentuk disko seperti yang tular di media sosial.

Wanita yang dikenali sebagai Fykaaschaa Kaka di Facebook berkata, program tersebut merupakan majlis persendirian berskala kecil yang menghimpunkan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat selain diselitkan sambutan hari jadi.

“Kebanyakan yang hadir adalah suami isteri, keluarga dan turut melibatkan kanak-kanak. Ia bukan tempat bercinta, bukan tempat untuk mabuk atau mengambil bahan terlarang.

“Bayaran tiket yang dikutip pula hanya bagi menampung kos makanan, sewaan dewan dan aktiviti permainan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya malam tadi.

Fykaaschaa memberitahu, dia menghormati undang-undang kerajaan negeri termasuk kerajaan Persekutuan dan mengakui terdapat kekhilafan sehingga program itu menjadi tular di media sosial.

Katanya, isu tersebut menjadi besar selepas video pendek memaparkan peserta berjoget dan berdansa tular di media sosial sehingga aktiviti tersebut dianggap sebagai pengisian utama program berkenaan.

“Saya akui kami manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Niat kami hanya mahu berkumpul dan melepaskan tekanan, bukannya menubuhkan kelab disko.

“Perkataan ‘Disco Retro’ pada poster hanya merujuk kepada tema pakaian pada malam itu,” ujarnya.

Fykaaschaa turut menjelaskan bahawa individu dikenali sebagai JL Fara bukan penganjur program berkenaan seperti yang didakwa di media sosial.

Katanya, dia sendiri merupakan penganjur majlis tersebut dan hanya menyewa dewan milik JL Fara.

“Saya akan bertanggungjawab menyelesaikan isu berkenaan dengan segera dan memaklumkan wakil Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah hadir bertemu pihak penganjur,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, MPKB-BRI mengeluarkan notis kesalahan dan tawaran kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan di sini semalam selepas didapati menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah.

MPKB-BRI dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil susulan penganjuran program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an yang diadakan pada Jumaat lalu dan tular di media sosial.

“Beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN