BACHOK – Seorang tukang rumah etnik Rohingya dicekup selepas dipercayai merogol seorang wanita daripada etnik yang sama dalam kejadian di Kampung Kuar, Tawang di sini pada hujung bulan lalu.
Lelaki yang berusia 32 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai merogol mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak pada 29 Jun lalu dan kedua mereka sudah lama mengenali kerana tinggal di kawasan kejiranan sama.
“Suspek juga tidak menetap di Bachok dan dipercayai sering keluar dari daerah ini atas urusan kerja. Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti berapa lama suspek mengenali mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, lelaki itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – KOSMO! ONLINE














