fbpx
Tan Cheong Min mempertahankan kejuaraan acara nangun wanita pada Kejohanan Piala Dunia Taolu di Haikou, China, hari ini.

Cheong Min kekal ratu nangun dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ratu wushu negara, Tan Cheong Min terus membuktikan statusnya sebagai antara atlet terbaik dunia apabila berjaya mempertahankan kejuaraan acara nangun wanita pada Kejohanan Piala Dunia Taolu di Haikou, China, hari ini.

Atlet kelahiran Melaka berusia 27 tahun itu mempamerkan persembahan cukup kemas untuk mengumpul 9.746 mata, sekali gus mengetepikan cabaran wakil Uzbekistan, Darya Latisheva yang meraih pingat perak dengan 9.736 mata.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Singapura, Kassandra Ong yang menamatkan saingan dengan 9.723 mata dalam kejohanan yang menghimpunkan lapan atlet terbaik dunia bagi setiap acara.

Kejayaan itu turut menghadiahkan emas kedua buat kontinjen negara dalam tempoh dua hari selepas Lee Jia Rong terlebih dahulu muncul juara acara daoshu wanita pada Selasa lalu.

CHEONG Min mempamerkan aksi bertenaga dalam acara nangun wanita pada Kejohanan Piala Dunia Taolu di Haikou, China.

Lebih penting, kemenangan tersebut hadir pada waktu tepat apabila Cheong Min bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya September depan dengan misi memperbaiki pencapaiannya selepas meraih pingat perak pada edisi Hangzhou 2022.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Pang Pui Yee turut menghadiahkan kilauan pingat apabila meraih perak acara qiangshu wanita selepas mencatat 9.726 mata.

Pingat emas dimenangi atlet Vietnam, Duong Thuy Vi yang turut mengumpul 9.746 mata, manakala gangsa menjadi milik atlet Neutral Individual Athlete (AIN), Aksinila Schukina dengan 9.723 mata.

Piala Dunia Taolu hanya menghimpunkan lapan atlet terbaik dunia bagi setiap disiplin berdasarkan keputusan Kejohanan Dunia Wushu di Brazil tahun lalu, sekali gus menjadikannya antara pertandingan paling berprestij dalam kalendar sukan itu. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN