PETALING JAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini pada peringkat akhir menyediakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya bagi negeri Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tempoh lapan tahun bagi kajian persempadanan semula negeri Sarawak sudah berakhir pada 21 Ogos 2023.
Jelasnya, penyediaan syor persempadanan semula bahagian negeri itu dengan mengambil kira pertambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana yang diluluskan oleh DUN Sarawak dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.
“Pameran syor kajian ini akan dilaksanakan oleh pihak SPR dalam masa terdekat yang menandakan bermulanya kajian ini secara rasmi seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 9, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam menjalankan kajian ini, SPR diberikan tempoh masa dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan bermula dari tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai sejauh mana jaminan kerajaan bahawa SPR akan menyelesaikan persempadanan semula sebelum pembubaran DUN Sarawak. – KOSMO! ONLINE














