fbpx
Akmal ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini. Foto JABATAN PENERANGAN

Cabaran negara menua, kerajaan pastikan golongan layak tidak tercicir bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tumpuan untuk mengelakkan golongan yang layak menerima bantuan daripada tercicir sebagai antara persediaan utama menghadapi cabaran negara menua.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, usaha itu penting bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, di samping mengelakkan ketirisan kepada penerima yang tidak layak.

“Malaysia telah mencapai status negara menua sejak 2021 dan dijangka menjadi negara tua seawal 2043 berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Banyak perkara perlu diselaraskan supaya apabila sampai masanya, kita dapat memastikan kehidupan dan kesejahteraan rakyat terus dilindungi dengan sebaik mungkin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan memastikan bantuan Persekutuan disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Menjawab soalan asal Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok), Akmal berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penduduk berusia 65 tahun ke atas kini melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk.

Katanya, peratusan itu dijangka meningkat daripada lapan peratus pada 2025 kepada 10.4 peratus menjelang 2035 susulan penurunan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) daripada 1.67 kepada 1.60.

Sehubungan itu, katanya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mengarusperdanakan Agenda Negara Menua menerusi pembangunan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) yang memberi tumpuan kepada lima teras utama, iaitu ekonomi makro dan fiskal, pekerjaan serta kemahiran, perlindungan sosial, kesihatan sepanjang hayat dan penjagaan jangka panjang.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh Dasar Warga Emas Negara dengan memberi penekanan kepada penuaan aktif, sihat dan bermaruah melalui pengukuhan sokongan keluarga serta komuniti, pembangunan persekitaran mesra warga emas, peningkatan literasi digital dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Kerajaan juga memperkukuh sistem penjagaan jangka panjang menerusi pembangunan model penjagaan berasaskan komuniti, ekonomi penjagaan, latihan penjaga profesional serta peluasan perlindungan sosial bagi golongan rentan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN