KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi pindaan undang-undang bagi memperketat tindakan terhadap pencerobohan, vandalisme dan kecurian aset kereta api, termasuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas pencuri kabel.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini berikutan undang-undang sedia ada disifatkan terlalu ringan.
“Banyak perkara perlu dipinda kerana undang-undang yang ada sekarang terlalu lemah. Bayangkan, menceroboh hukumannya hanya RM500 hingga RM1,000 sahaja.
“Pencurian kabel yang melibatkan isu keselamatan ini akan dikenakan penalti yang lebih berat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai usaha kerajaan membanteras kecurian kabel kereta api.
Hasbi berkata, sebanyak 393 kes kecurian kabel direkodkan dalam tempoh tiga tahun lalu membabitkan 19,756 meter kabel dengan kerugian dianggarkan RM16.3 juta.
Menurutnya, kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk mendekati pengusaha dan peniaga besi buruk bagi memastikan mereka tidak membeli barangan curi.
Katanya, Railway Assets Corporation (RAC) juga memasang 1,146 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di lokasi berisiko tinggi membabitkan kos RM14 juta.
“Selain itu, penggunaan dron diperkenalkan bagi memantau kawasan hotspot yang sukar diakses melalui rondaan biasa,” katanya.
Beliau berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut mendapat kelulusan memperoleh 20 motosikal scrambler untuk kegunaan Polis Bantuan bagi mempertingkat rondaan, mempercepatkan tindak balas terhadap insiden dan memperkukuh penguatkuasaan di kawasan rel berisiko.-KOSMO! ONLINE.














