KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti pindaan terhadap Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) bagi menetapkan tempoh tahanan yang lebih jelas supaya wujud keseimbangan antara keadilan kepada mangsa, keselamatan awam dan peluang pemulihan pesalah kanak-kanak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, penelitian itu dibuat menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat pada 2023.
Menurut beliau, terdapat individu yang melakukan kesalahan ketika berusia bawah 18 tahun, tetapi masih ditahan puluhan tahun tanpa tempoh tahanan yang jelas.
“Kita temu bual beberapa orang yang ditahan di penjara. Baru-baru ini di Semporna dan Sandakan, saya berjumpa seorang yang telah ditahan hampir 25 tahun. Ketika masuk penjara umurnya baru 17 tahun.
“Dia tidak tahu apa itu telefon pintar dan tidak tahu perkembangan yang berlaku di luar,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Abd. Ghani Ahmad (PH-Jerlun) mengenai cabaran pelaksanaan Seksyen 97 Akta 611 dalam memastikan keseimbangan antara keadilan kepada mangsa dan peluang pemulihan pesalah kanak-kanak.
Katanya, jawatankuasa khas itu telah beberapa kali bermesyuarat bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk mengehadkan tempoh tahanan di bawah seksyen berkenaan.
Terdahulu, menjawab soalan asal S. Kesavan (PH-Sungai Siput), Kulasegaran memaklumkan seramai 40 individu masih ditahan di bawah Seksyen 97 Akta 611.
Beliau menjelaskan seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap pesalah yang merupakan kanak-kanak ketika kesalahan dilakukan, sebaliknya mereka ditahan di penjara bagi tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri.
“Kerajaan Madani komited memastikan sebarang pindaan yang dicadangkan kelak dapat menyeimbangkan kepentingan keadilan, keselamatan awam dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan komitmen hak asasi manusia negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














