fbpx
Gambar hiasan

Isteri jadi pelaku dalam 104 daripada 7,391 kes keganasan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 104 daripada 7,391 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu membabitkan isteri sebagai pelaku, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian memandang serius semua bentuk keganasan rumah tangga tanpa mengira kaum, jantina dan agama, termasuk kes yang melibatkan suami sebagai mangsa.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi agensi di bawah KPWKM seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi meningkatkan perlindungan dan kesedaran masyarakat.

Menurutnya, antara intervensi yang disediakan ialah Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) yang boleh dipohon tanpa laporan polis dan diproses oleh JKM dalam tempoh seawal dua jam.

“EPO yang sah selama tujuh hari memberi perlindungan segera kepada mangsa untuk mendapatkan rawatan, perlindungan sementara, bantuan psikososial serta mengambil tindakan lanjut melalui mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai langkah kerajaan melindungi suami yang menjadi mangsa penderaan fizikal, emosi dan kewangan.

Nancy berkata, JPW turut melaksanakan Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) sejak tahun lalu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menangani isu keganasan rumah tangga.

Katanya, dari Januari hingga Jun lalu, seramai 1,708 peserta menyertai program itu di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang, termasuk 298 lelaki, manakala 94 peserta menerima manfaat menerusi sesi intervensi psikologi K-Chat.

Beliau berkata, LPPKN pula melaksanakan Modul Kebapaan: Peneraju Kepimpinan Keluarga bagi memperkasakan golongan lelaki menerusi pembangunan kemahiran kebapaan, pengurusan emosi, komunikasi berkesan dan penyelesaian konflik.

“KPWKM menegaskan perlindungan terhadap mangsa keganasan rumah tangga adalah menyeluruh dan inklusif tanpa mengira jantina atau kategori mangsa.

“Kementerian akan terus memperkukuh kerangka perundangan, intervensi psikososial, pendidikan kekeluargaan serta penyelidikan berasaskan bukti bagi memastikan setiap mangsa mendapat bantuan dan perlindungan sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN