SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersedia menyalurkan bantuan zakat kepada keluarga pelajar yang menjadi mangsa insiden tikam di sebuah sekolah menengah di Banting sekiranya mereka didapati tergolong dalam kalangan asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu mana-mana keluarga Muslim yang memenuhi syarat sebagai penerima zakat berdasarkan lapan kategori asnaf yang ditetapkan syarak.
“Sekiranya seseorang itu jatuh miskin disebabkan satu kes atau musibah, dia layak mendapat bantuan zakat.
“Bagaimanapun, bancian dan siasatan perlu dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan individu berkenaan benar-benar layak menerima bantuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Majikan dan Ejen Kutipan Zakat Selangor di sini, hari ini.
Menurut beliau, keluarga terbabit juga tidak perlu mengemukakan permohonan kerana pegawai LZS akan turun padang bagi menjalankan siasatan dan penilaian.
Katanya, LZS sentiasa memantau kes-kes yang tular di media sosial membabitkan individu yang dikatakan berada dalam kesusahan supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya mereka layak dibantu.
“Tapi ada beberapa kes yang mana bila pegawai LZS turun siasat individu itu, didapati individu berkenaan bukan orang miskin. Jadi, siasatan perlu dibuat bagi memastikan LZS beri bantuan kepada golongan yang sepatutnya mendapat bantuan zakat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














