fbpx
PEGAWAI dan anggota tentera Kem Mahkota, Kluang menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada PRN Johor ke-19 hari ini.

PRN Johor: 24,751 pengundi awal mula mengundi hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Seramai 24,751 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 mula menunaikan tanggungjawab mereka di 64 pusat mengundi awal yang dibuka di seluruh negeri hari ini.

Daripada jumlah itu, 12,041 adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan, manakala 12,710 lagi terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.

Bagi pengundi awal PDRM, seramai 12,067 akan mengundi secara fizikal di pusat-pusat pengundian hari ini, manakala 643 lagi menunaikan tanggungjawab menerusi undi pos.

Sebanyak 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal ATM dibuka bermula pukul 8 pagi, dengan waktu penutupan berbeza mengikut lokasi serta jumlah pemilih berdaftar, iaitu antara 12 tengah hari hingga 6 petang.

Antara pusat mengundi yang dijangka menamatkan proses pengundian lebih awal ialah Balai Polis Tenang bagi DUN Tenang yang hanya mempunyai enam pengundi, selain Balai Polis Bukit Besar di DUN Pasir Raja dengan 11 pengundi, masing-masing dijadualkan ditutup pada pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Balai Polis Kahang bagi DUN Kahang dan IPD Johor Bahru Utara dijadualkan beroperasi sehingga 6 petang.

Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan terkawal, PDRM menggerakkan 3,565 petugas yang terdiri daripada 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam di seluruh negeri.

Penugasan itu meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, operasi bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang sepanjang proses pengundian berlangsung.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis yang ditetapkan sebelum dibuka untuk proses pengiraan sebaik tamat tempoh pengundian biasa pada Sabtu ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala seramai 2.7 juta pengundi layak mengundi pada hari pengundian yang ditetapkan Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN