JELEBU – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal mereka tunggang merempuh seekor kerbau yang melintas jalan dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Lakai-Simpang Durian, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 17 dan 19 tahun dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR secara berasingan dari arah pekan Simpang Durian menghala ke Lakai.
Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat pelanggaran itu.
“Kakitangan Hospital Jelebu kemudian mengesahkan kedua-dua penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira pukul 4.05 pagi,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sub-Inspektor Abas Mohamed di talian 010-8649229 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














