PETALING JAYA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih, di sini disifatkan umpama permainan ‘main aci’ apabila pasukan penyelamat dan mangsa dipercayai silih berganti melalui kawasan yang sama pada waktu berbeza.
Pegawai Bomba Kanan I, Muhammad Izham Aminuddin berkata, keadaan itu berlaku kerana Jaslinda sentiasa bergerak ke lokasi lain ketika pasukan SAR selesai melakukan pencarian di sesuatu sektor.
“Dalam bahasa kami, sebenarnya kami sedang ‘main aci’ dengan dia. Kami sampai di satu kawasan, buat pencarian dan tanda lokasi itu sudah diperiksa.
“Esoknya dia pula sampai ke kawasan itu, sedangkan kami sudah bergerak ke sektor lain. Sebab itu pencarian menjadi sukar,” katanya ketika menjadi tetamu audio siar Borak Balai kendalian Abang Crime.
Menurutnya, pasukan SAR tidak boleh mengulangi pencarian di lokasi yang sama kerana setiap sektor perlu diperiksa mengikut perancangan bagi mempercepatkan operasi.
Katanya, mereka turut menemui beberapa petunjuk seperti baju hujan koyak yang tersangkut pada duri serta beberapa kesan lain dipercayai menunjukkan laluan pernah dilalui mangsa.
Terdahulu, Jaslinda ditemui selamat pada 6 Jun lalu selepas hampir 15 hari dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah. Mangsa seterusnya menerima rawatan di Hospital Tapah dan dibenarkan pulang pada 9 Jun lalu selepas keadaannya stabil.
Jaslinda turut tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE














